Matlamat Hidup Kita

Umrah 2012: di kaki Jabal Rahmah

Bismillahirrahmaanirrahiim

Anak-anak Umi,

Setiap sesuatu tu Allah jadikan ada sebabnya. Dan bagi kita, sebagai hamba Allah, setiap sesuatu yang kita buat tu mesti ada matlamatnya.

Matlamat hidup kita apa ya?

Haa.. meh sini Umi cerita.

Mula-mula, waktu Allah nak jadikan manusia dulu, Allah tak refer manusia sebagai manusia tau. Kalau dia nak buat bukit, gunung ganang, laut, lembu, kerbau, ayam, itik, semua Dia bagitau kat malaikat yang Dia nak cipta benda-benda tu semua. Tapi waktu nak ciptakan manusia, Allah sebut:

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi..." (AlBaqarah:30)

Jadi, kita ni bukan hanya sebagai ciptaan Allah, tetapi diberi jawatan sebelum diciptakan! Masya Allah! Ya, sayang.. kita ni khalifah yang Allah beri amanah untuk hidup di bumi. Khalifah ni tugas dia menjaga bumi, mengurus bumi dan mentadbir bumi dan isi kandungannya. 

Hmm..boleh ke kita buat semua tu? Insya Allah boleh, tapi mesti ikut garis panduan yang Allah tentukan. Cara hidup kita, cara bergaul dengan orang lain, cara nak berusaha, cara nak berjaya.. semua tu ada dalam garis panduan yang Allah sediakan. 

Kalau begitu, nampaknya macam kita hidup ni hanya kerana Allah je lah kan? Semua ikut apa yang Allah suruh? BETUL sangat tu! Dalam surah Al An'am, ayat 162, Allah ajar kita lagi:

"Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. "

Dan Allah tegaskan juga dalam ayat 56 surah Az Dzaariyat, yang bermaksud:

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu."

Kalau kita ingkar, atau kita tak ikut apa yang Allah perintahkan ni, maksudnya kita sombong dan lupa asal usul kita. Kita ni lemah sangat. Kalau Allah tak izinkan kita angkat tangan, satu jari pun kita tak boleh angkat. Kalau Allah tak izinkan kita bukak mulut, sampai bila-bila pun mulut kita akan tertutup. Kentutnya tak boleh tahan, apatah lagi tubuh kita mengusung najis di dalam perut. Siapalah kita nak sombong dengan Allah yang Maha Suci! 

Anak-anak Umi,

Jadi, matlamat hidup kita adalah untuk hidup di dunia ni sebagai khalifah Allah yang soleh. ikut semua perintah Allah dan jauhi larangan Allah. Nak tahu yang mana satu perintah, mana larangan, kenalah berguru, kena belajar. Kita mesti tahu apa yang Allah suka, kita buat. Kita juga mesti tahu apa yang Allah tak suka, kita jangan buat. 

Sampai masa nanti kita akan dicabut nyawa. Kita akan pulang kepada Allah. Apa yang kita bawa hanyalah tiga perkara yang Nabi ingatkan dalam hadithnya (Riwayat Imam Ahmad):


Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Apabila seorang manusia mati, putuslah (tulisan pahala) amalan (setakat itu) Kecuali tiga perkara (yang akan berlanjutan tulisan pahalanya) iaitu sedekah jariah atau ilmu memberi kepada yang faedah orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya."

Umi berdoa agar anak-anak Umi akan banyak sedekah jariahnya, banyak ilmu yang disebarkannya dan jadi anak yang soleh untuk Umi dan Abi.. mudah-mudahan, antuma juga beroleh anak-anak soleh , insya Allah. 


Allahumma laa tuzigh quluubana 
ba'da izhadaitana 
wa wablana min ladunka rahmah, 
amin ya Rabb!!

Amin ya Rabbal 'aalamin.

Letih sangat balik dari masjid, tidur dari dalam stroller!
Jangan letih tuntut ilmu ya sayang!